TAWAU, 10 APRIL – Seorang wanita berusia 25 tahun maut dalam satu kemalangan jalan raya yang berlaku di Bandar Sri Indah, di sini, tengah hari tadi.
Menurut laporan, pihak bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 12.26 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 17 kilometer dari balai.
Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 12.45 tengah hari dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kenari yang dipercayai terbabas sendiri ke tepi jalan.
Komander Operasi, PBK I Zougrana Konin memaklumkan bahawa mangsa wanita berkenaan telah dikeluarkan lebih awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ketibaan bomba di lokasi.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi turut melibatkan seramai enam anggota bomba bersama sebuah jentera FRT dan satu unit EMRS,
selain bantuan empat petugas KKM dan tiga anggota polis.
Pasukan bomba hanya menjalankan pemantauan di lokasi bagi memastikan tiada sebarang risiko bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.22 petang.
