SABAH PERKUKUH EKONOMI, SEKTOR PERIKANAN SUMBANG LEBIH RM9 BILLION KEPADA KDNK

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA KINABALU, 9 APRIL – Sektor perikanan negara terus mencatat prestasi kukuh apabila menyumbang sebanyak RM9.18 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sehingga suku ketiga tahun 2025.

Prestasi memberangsangkan itu turut disokong jumlah pengeluaran hasil laut yang melepasi 1.91 juta tan metrik dengan nilai keseluruhan dianggarkan sekitar RM6.05 bilion sekali gus mencerminkan kepentingan sektor berkenaan dalam rantaian ekonomi negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ 1.0) bagi tempoh 2021 hingga 2025 berjaya menyediakan asas kukuh ke arah pemulihan ekonomi negeri, meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi global.

Menurut beliau, sepanjang tempoh tersebut Sabah turut mencipta rekod tersendiri apabila kutipan hasil negeri menghampiri RM7 bilion buat pertama kali dalam sejarah.

“Negeri ini merekodkan kutipan hasil sebanyak RM6.96 bilion pada 2022, meningkat kepada RM6.97 bilion pada 2023, dan kekal stabil dengan RM6.76 bilion pada 2025,” katanya.

Beliau menambah, pertumbuhan itu seiring dengan peningkatan nilai KDNK Sabah yang mencecah RM84.3 bilion pada 2024 berbanding RM77.8 bilion pada 2020, sekali gus meletakkan negeri ini sebagai penyumbang ketujuh terbesar kepada ekonomi negara.

Bagi tahun 2025, KDNK Sabah dijangka terus berkembang pada kadar sekitar 1.5 peratus menunjukkan momentum ekonomi negeri yang kekal positif dan berdaya tahan.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata kejayaan pelaksanaan SMJ 1.0 memberi keyakinan bahawa Sabah berada di landasan tepat untuk meneruskan agenda pembangunan melalui SMJ 2.0 yang bakal memberi penekanan kepada transformasi menyeluruh.

“Inisiatif baharu ini menuntut perubahan bukan sahaja dari segi dasar tetapi juga cara berfikir, kaedah bekerja dan penciptaan nilai tambah kepada rakyat,” jelasnya.

Tambah beliau, hala tuju tersebut turut diselaraskan dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri sehingga tahun 2030.

Sementara itu, Hajiji berkata penganjuran program TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 mencerminkan peranan signifikan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dalam memperkasa ekonomi Bumiputera di negeri ini.

Katanya, program berkenaan menyediakan akses lebih luas kepada pembiayaan, pembangunan kapasiti serta peluang jaringan perniagaan kepada usahawan tempatan.

“Program ini juga berfungsi sebagai penghubung antara dasar kerajaan dan pelaksanaan di peringkat akar umbi, bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa usahawan Bumiputera agar memanfaatkan sepenuhnya inisiatif yang disediakan, termasuk meneroka sektor baharu seperti Ekonomi Biru yang dilihat mempunyai potensi besar untuk dibangunkan secara strategik.

Share This Article