KOTA KINABALU, 21 JULAI – Sabah perlu beralih daripada sekadar menjadi pengguna kandungan kreatif kepada pengeluar kandungan yang mampu menembusi pasaran nasional dan antarabangsa menerusi pembangunan industri kreatif yang lebih tersusun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Abdul Kassim Razali berkata, sektor ekonomi kreatif berpotensi menjadi pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negeri selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia.
Menurut beliau, Sabah memiliki kelebihan tersendiri menerusi kepelbagaian budaya, seni, muzik, warisan serta keunikan khazanah alam semula jadi yang boleh diterjemahkan kepada produk kreatif bernilai tinggi.
“Pada hari ini semakin ramai anak muda Sabah berjaya menghasilkan kandungan digital, filem pendek, muzik, animasi, fotografi dan reka bentuk grafik yang mendapat perhatian bukan sahaja dalam Negara malah di peringkat antarabangsa.
“Namun, potensi besar ini masih belum diterjemahkan menjadi sebuah industri yang benar-benar kukuh kerana ramai penggiat kreatif berdepan kekangan dari segi pembiayaan, kemudahan produksi, latihan profesional, pemasaran digital dan perlindungan harta intelek,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah,pada selasa.
Abdul Kassim berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), industri budaya dan ekonomi kreatif menyumbang 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2024 dengan nilai RM130.7 bilion serta mewujudkan lebih 763,000 peluang pekerjaan.
Katanya, angka berkenaan menunjukkan ekonomi kreatif kini bukan lagi sekadar aktiviti samping an sebaliknya berkembang sebagai salah satu sektor strategik yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Sehubungan itu beliau mencadangkan kerajaan negeri menubuhkan Unit Ekonomi Kreatif Sabah bagi menyelaras pembangunan industri kreatif secara lebih sistematik termasuk mengenal pasti bakat tempatan, membangunkan pangkalan data industri, menyelaras latihan, memudah cara akses kepada geran serta menghubungkan penggiat kreatif dengan pelabur.
Beliau turut mencadangkan pewujudan Sabah Creative Hub sebagai pusat sehenti yang menyediakan kemudahan studio, ruang kolaborasi, fasiliti produksi, inkubator perniagaan serta latihan profesional kepada penggiat industri kreatif negeri.
“Langkah ini bukan sahaja mampu melahirkan lebih ramai usahawan kreatif malah berpotensi membuka ribuan peluang pekerjaan baharu kepada belia Sabah,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Abdul Kassim berkata peruntukan tambahan menerusi RUU Perbekalan Tambahan 2026 perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh sektor pendidikan termasuk bantuan pendidikan, peluasan akses Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan kemahiran serta penyediaan kemudahan digital kepada pelajar.
Beliau berkata, dalam era kecerdasan buatan (AI), generasi muda Sabah perlu dilengkapi dengan kemahiran digital, analitik data, pengaturcaraan, kreativiti dan pemikiran kritis supaya mampu bersaing dalam ekonomi masa depan.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan mengenai cabaran ekonomi global termasuk ketidaktentuan geopolitik dan konflik antarabangsa yang boleh memberi kesan kepada perdagangan minyak dunia, kos logistik, pengangkutan serta harga makanan.
Katanya, RUU Perbekalan Tambahan 2026 penting bagi memastikan kerajaan negeri mempunyai ruang fiskal mencukupi untuk meneruskan agenda pembangunan, mengekalkan penyampaian perkhidmatan awam serta menjaga kebajikan rakyat.
Beliau menegaskan setiap peruntukan tambahan yang diluluskan perlu dibelanjakan secara berhemah, telus dan berimpak tinggi agar manfaatnya dapat dirasai rakyat di seluruh Sabah.
