KPDN GAGALKAN PENYELEWENGAN 800 LITER DIESEL DI PULAU BANGGI

sabahheadlines
2 Min Read

KUDAT, 10 APRIL – Cubaan menyeleweng bahan api bersubsidi berjaya dipatahkan apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kudat merampas kira-kira 800 liter diesel dalam satu operasi khas di perairan Pulau Banggi, semalam.

Operasi menerusi Ops Tiris 4.0 itu dilaksanakan secara bersepadu bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Kudat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kudat bagi membanteras ketirisan barangan kawalan di kawasan perairan negeri ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, seorang lelaki tempatan ditahan di laluan Karakit ke Batu Layar selepas dikesan membawa muatan mencurigakan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat.

“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut membawa empat tong drum berisi diesel dengan anggaran keseluruhan sebanyak 800 liter dipercayai untuk tujuan penyelewengan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, semua bahan api berkenaan bersama kenderaan yang digunakan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tambahnya, pihak KPDN akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan khususnya di kawasan berisiko tinggi termasuk Pulau Banggi bagi mengekang aktiviti penyelewengan subsidi kerajaan.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana individu atau sindiket yang didapati terlibat,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan dalam memastikan aktiviti penyeludupan dan ketirisan bahan api dapat dibendung secara berkesan.

Orang ramai juga digesa untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barangan kawalan.

Share This Article