PENAMPANG, 9 APRIL– Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam satu operasi khas Op Mabuk yang dijalankan di Jalan Bundusan, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, berkata suspek ditahan selepas didapati melebihi had kandungan alkohol yang dibenarkan ketika pemeriksaan dilakukan oleh pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Menurut beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun serta denda antara RM10,000 hingga RM30,000, selain hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun jika sabit kesalahan.
Dalam operasi sama, polis turut mengeluarkan sebanyak 11 saman atas pelbagai kesalahan trafik, termasuk enam kes melibatkan pemandu yang tidak memiliki lesen memandu sah.
“Sepanjang operasi dijalankan, seramai 66 individu dan 50 kenderaan telah diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi berkenaan diketuai oleh Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Rozami Hj Ahmad bersama tujuh anggota polis lain.
Tambah Sammy, pelaksanaan Op Mabuk bertujuan mempertingkatkan pematuhan undang-undang jalan raya serta memastikan keselamatan pengguna sentiasa terpelihara.
