19 PATI DI SABAH DIHANTAR KE NEGARA ASAL CECAH 1,764 ORANG

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 9 APRIL- Seramai 19 tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) dihantar pulang ke negara asal menerusi program pemindahan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Negeri Sabah, hari ini.

Kumpulan berkenaan terdiri daripada 13 lelaki dewasa, lima wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki melibatkan warganegara Filipina, Pakistan dan Vietnam.

Menurut kenyataan rasmi, semua individu terbabit telah melengkapkan proses perundangan di Malaysia selain disahkan memiliki dokumen perjalanan sah selepas melalui proses pengesahan oleh kedutaan masing-masing.

Pemindahan itu dilaksanakan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan kos ditanggung sendiri oleh tahanan terlibat.

Sehingga kini, seramai 1,764 PATI telah berjaya dihantar pulang ke negara asal masing-masing di seluruh Sabah.

Daripada jumlah itu, warganegara Filipina mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 56 peratus diikuti Indonesia (36 peratus) dan lain-lain negara sebanyak lapan peratus.

Dalam pada itu, Jabatan Imigresen Negeri Sabah mengingatkan orang ramai supaya tidak melindungi atau menggaji PATI sebaliknya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi.

Langkah itu penting bagi memastikan undang-undang imigresen terus dipatuhi serta menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Share This Article