LAHAD DATU, 8 Januari 2026 – Polis Daerah Lahad Datu melalui Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) menahan empat individu dalam empat tangkapan berasingan berkaitan kes dadah jenis syabu menerusi beberapa operasi yang dijalankan dari 7 hingga 8 Januari lalu di sekitar daerah ini.
Tiga daripada tangkapan berkenaan melibatkan kes bekalan dan pemilikan dadah jenis syabu di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Operasi tersebut dijalankan di beberapa lokasi, iaitu di Ladang Sabah Mas, Jalan Putatan; hadapan rumah pekerja di Ladang Permai, Jalan Putatan serta hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Seri Darun, Tungku.
Hasil operasi itu, polis merampas dadah disyaki syabu dengan berat keseluruhan 14.83 gram yang dianggarkan bernilai RM1,631.30.
Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 39A(1) serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek didapati positif dadah.
Dalam perkembangan berkaitan polis turut menahan seorang lelaki berusia 48 tahun di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suspek berkenaan sebelum ini telah ditahan berkaitan satu kes lain dan hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan di Pejabat BSJND Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu mendapati suspek turut positif dadah.
Operasi bersepadu ini mencerminkan komitmen berterusan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj. Dzulbaharin bin Hj. Ismail bersama seluruh warga IPD Lahad Datu dalam usaha membanteras jenayah dadah dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat di daerah ini.
