DUA LELAKI DICEKUP SELEWENG 1,000 LITER DIESEL

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 6 APRIL – Cubaan dua lelaki untuk menyeleweng 1,000 liter minyak diesel menggunakan tong dram terbongkar apabila mereka ditahan dalam Ops Tiris 4.0 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pada Ahad.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Cawangan Lahad Datu, Azizul Amran berkata, kedua-dua lelaki berumur lingkungan 20-an itu ditahan ketika sedang melakukan pengisian bahan bakar ke dalam tong dram menggunakan dua buah kenderaan pacuan empat roda di sebuah stesen minyak di daerah ini.

Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan menerusi Ops Tiris 4.0 yang memberi fokus kepada pematuhan larangan penjualan petrol RON95 serta pemantauan aktiviti di stesen minyak sekitar Lahad Datu.

“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit kebenaran bagi pengisian diesel tersebut.

“Susulan itu, kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Ahad.

Tambah beliau, pihaknya turut merampas minyak diesel berkenaan bersama dua kenderaan pacuan empat roda yang digunakan dalam kegiatan itu dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM117,150.

Azizul berkata, KPDN akan terus mempergiatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan di daerah ini.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti seumpama ini melalui saluran rasmi KPDN bagi membantu usaha penguatkuasaan,” katanya.

Share This Article