PPM TUMPASKAN PENYELEWENGAN DIESEL DI PENAMPANG,LIMA LELAKI DITAHAN

sabahheadlines
2 Min Read

PENAMPANG, 14 APRIL – Kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Kampung Kibabaig berjaya dibongkar selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah melaksanakan serbuan ke atas sebuah premis yang disyaki menjadi lokasi operasi haram berkenaan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Ambi bin Abdul Rahman, berkata serbuan itu membawa kepada rampasan sebuah lori tangki serta beberapa peralatan termasuk pam elektrik yang dipercayai digunakan untuk memindahkan bahan api secara tidak sah.

“Dalam operasi tersebut,lima lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya .

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 6,230 liter diesel berjaya disita. Bahan api itu dipercayai diperoleh pada harga subsidi sekitar RM2.15 seliter sebelum disyaki dijual semula ke pasaran industri pada harga lebih tinggi, iaitu kira-kira RM6.50 seliter.

Menurutnya, perbezaan harga tersebut dipercayai memberi keuntungan besar kepada sindiket,sekali gus menyebabkan ketirisan subsidi yang ketara.Kes berkenaan kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ahmad Ambi turut menegaskan bahawa aktiviti penyelewengan bahan api bukan sahaja menjejaskan hasil negara malah memberi kesan kepada kestabilan ekonomi serta berpotensi berkait dengan jenayah lain termasuk penyeludupan.

Tambah beliau, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan berkenaan demi memastikan kesejahteraan rakyat serta keselamatan negara sentiasa terpelihara.

Share This Article