PPM LAHAD DATU RAMPAS LEBIH 24,000 UNIT KOSMETIK SELUDUP BERNILAI RM360,986

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 11 Mei – Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu berjaya menahan sebuah feri yang dipercayai membawa masuk pelbagai jenis kosmetik tanpa dokumen sah dalam operasi khas di perairan Laut Lahad Datu, Sabtu lalu.

Operasi kira-kira jam 8.05 pagi itu dijalankan hasil risikan berhubung aktiviti penyeludupan barangan dari Bongao, Tawi-Tawi, Filipina ke Lahad Datu, Sabah.

Menurut kenyataan, pemeriksaan menyeluruh dilakukan di seluruh bahagian feri bermula dari aras bawah hingga ke aras atas sebelum menemui kira-kira 70 longgokan kotak yang mengandungi pelbagai jenis produk kosmetik.

Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 24,176 unit kosmetik pelbagai jenis dirampas dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah RM360,986.

Siasatan lanjut mendapati kesemua barangan berkenaan tidak mempunyai dokumen atau permit sah daripada Bureau of Customs Filipina.

Semua rampasan kemudian dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Sementara itu Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi dan pemantauan di perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta kemasukan barang tanpa cukai yang boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara.

Beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan penyeludupan kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Share This Article