ASRAMA GEREJA DUA TINGKAT TERBAKAR 50 PERATUS DI PAITAN, TIADA MANGSA DILAPORKAN

sabahheadlines
1 Min Read

PAITAN, 5 APRIL – Sebuah bangunan asrama gereja dua tingkat jenis tidak kekal di Kampung Tulid, Paitan, musnah kira-kira 50 peratus dalam satu kejadian kebakaran awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 3.26 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 194 kilometer dari balai.

Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 7.07 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan bangunan berkeluasan 30 x 60 kaki persegi.

Operasi pemadaman segera dijalankan dan api berjaya dikawal pada jam 8.01 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.30 pagi.

Komander Operasi, PBK I Arshad bin Kadir, memaklumkan bahawa pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman sisa bara (overhaul) menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan satu pancutan air yang diperoleh daripada sumber terbuka berhampiran lokasi.

“Pemeriksaan turut dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca bahaya lain di kawasan kejadian,” katanya.

Seramai tujuh anggota terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM).

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.

Namun operasi berdepan cabaran berikutan ketiadaan liputan sistem komunikasi GIRN serta talian telefon di lokasi kejadian.

Share This Article