KINARUT, 4 APRIL— Sebuah stor penyimpanan barangan di Puncak Gloxinia Condominium di sini musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku petang tadi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar menerima panggilan kecemasan pada jam 2.08 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 18 kilometer dari balai berkenaan dan tiba pada jam 2.25 petang.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Hamdani Harith berkata, kebakaran melibatkan sebuah stor jenis kekal berkeluasan kira-kira 20 kaki panjang dan 10 kaki lebar.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan satu pancutan air dengan sumber bekalan air diperoleh daripada jentera bomba serta pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, api berjaya dikawal dalam tempoh singkat iaitu pada jam 2.34 petang sebelum dipadam sepenuhnya kira-kira 16 minit kemudian.“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden ini,” tambahnya.
Beliau berkata, pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada sisa kebakaran yang berpotensi mencetuskan api semula, sebelum lokasi disahkan selamat.
Operasi berkenaan melibatkan sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS), dengan bantuan pihak polis.
