KUALA LUMPUR, 31 Mac – Buletin TV3 hari ini menafikan penglibatan dalam penyebaran maklumat harga petrol dan diesel yang tular di media sosial, yang didakwa menggunakan logo serta identiti visual program berkenaan.
Menurut kenyataan rasmi, pihak Buletin TV3 menegaskan bahawa mereka tidak pernah menerbitkan atau mengeluarkan sebarang grafik atau maklumat seperti yang kini beredar, termasuk paparan harga minyak yang tidak tepat.
Sehubungan itu, satu laporan rasmi akan dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu tersebut.
Dalam masa sama, Buletin TV3 menjelaskan bahawa pihaknya sememangnya pernah menghasilkan infografik berkaitan harga minyak namun semua maklumat yang disiarkan adalah berdasarkan sumber sah daripada Kementerian Kewangan Malaysia.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan, sebaliknya merujuk kepada saluran rasmi bagi mendapatkan informasi yang tepat dan sahih.
