PAPAR, 31 Mac – Dua remaja ditemui meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika menjalankan aktiviti mandi-manda di Sungai Pokdi Campsite, Mandalipau, di sini pagi tadi.
Menurut kenyataan pihak bomba, Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.10 pagi sebelum sepasukan lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 31 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBKI Imamat Tawarid, berkata pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 10.50 pagi dan mendapati kedua-dua mangsa telah ditemui oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
“Dua mangsa yang terlibat ialah seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan seorang lelaki berusia 18 tahun. Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” KATANYA.
dalam satu kenyataan.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut melibatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.00 petang.
Ketua Balai BBP Papar, PPgB Rozlan Osman, ketika dihubungi menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan ketika menjalankan aktiviti di kawasan sungai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
