TOYOTA VIGO TERBABAS DI BULATAN POPOK , LIMA CEDERA RINGAN

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA MARUDU, 29 Mac – Lima individu mengalami kecederaan ringan selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sendiri dalam satu kemalangan jalan raya di Bulatan Popok di sini, petang kelmarin.

Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.37 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu digerakkan ke lokasi, kira-kira tujuh kilometer dari balai.

Menurut Komander Operasi, PBK II Castro Dumet, jentera pertama tiba di lokasi pada jam 6.43 petang dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Single Cab Vigo yang terbabas masuk ke dalam longkang.

“Terdapat lima mangsa terlibat iaitu dua lelaki dan tiga wanita.

“Kesemua mangsa berjaya keluar dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.

Beliau berkata, semua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan diberikan rawatan awal oleh anggota bomba di lokasi kejadian.

“Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi yang melibatkan lima anggota bersama sebuah jentera FRT itu berjaya dikawal dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.21 malam.

Tiada maklumat lanjut mengenai identiti mangsa diperoleh setakat ini.

Share This Article