LAHAD DATU, 4 Februari 2026 – Polis Daerah Lahad Datu menahan dua lelaki warganegara asing dan merampas dadah disyaki syabu dalam Operasi Tapis yang dijalankan di Kampung Merabung, Jalan Lahad Datu–Tungku, awal pagi tadi.
Dalam serbuan pertama kira-kira jam 12.15 tengah malam, seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan di sebuah rumah tidak bernombor selepas polis menemui dadah disyaki syabu seberat 0.11 gram bersama peralatan berkaitan.
Tangkapan kedua dilakukan kira-kira jam 1 pagi apabila seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan di beranda sebuah rumah tidak bernombor di lokasi sama.
Pemeriksaan menemui dadah disyaki syabu seberat 0.26 gram serta peralatan dipercayai digunakan untuk pengambilan bahan terlarang itu.
Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif Methamphetamine, Amphetamine dan Ketamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj Dzulbaharin Hj Ismail berkata operasi berterusan akan dipergiat bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.
TAMAT
