KOTA KINABALU, 25 Mac — Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas jasa dan pengorbanan mereka dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Beliau berkata, peranan pasukan polis sebagai benteng utama keamanan amat penting dalam menjamin kestabilan negeri, sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Sabah.
Menurutnya, kerajaan negeri komited untuk terus menyokong keperluan PDRM sebagai rakan strategik dalam usaha memacu agenda pembangunan, khususnya di bawah pelan Sabah Maju Jaya 2.0.
Dalam pada itu, Hajiji turut menyifatkan perasmian Galeri Polis Negeri Sabah di Kepayan sebagai satu simbol penghargaan terhadap pengorbanan anggota keselamatan. Katanya, galeri tersebut bukan sahaja memaparkan sejarah dan sumbangan pasukan polis, malah berperanan sebagai medium pendidikan kepada generasi muda mengenai nilai keamanan.
Beliau menambah, peristiwa bersejarah seperti insiden Tanduo turut menjadi antara pengisian penting dalam galeri berkenaan bagi mengingatkan masyarakat tentang pengorbanan pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negeri.
Sehubungan itu, beliau berharap seluruh warga PDRM terus menjalankan amanah dengan penuh dedikasi, integriti dan semangat tinggi demi menjaga keselamatan negara.
TAMAT
