SANDAKAN, 24 MEI — Sebanyak tujuh laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sandakan berhubung satu hantaran media sosial yang dipercayai mengandungi unsur fitnah, kenyataan berbaur hasutan serta cubaan mencemarkan nama baik institusi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah dan kepimpinan tertinggi negeri Sabah.
Laporan tersebut dibuat susulan satu hantaran dimuat naik pada 20 Mei 2026 oleh seorang individu dikenali sebagai Paul Chong Thian Sco menerusi akaun Facebook miliknya bertajuk “WHO IS ULTIMATELY RESPONSIBLE?”.
Hantaran berkenaan dipercayai mengandungi beberapa kenyataan berbentuk sindiran melampau, tuduhan tidak berasas serta unsur provokatif yang boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap institusi TYT Sabah dan kepimpinan negeri.
Selain kenyataan tertentu yang dikaitkan dengan isu “Sabah Water Scandal”, hantaran tersebut turut disertakan ungkapan seperti “A Fish Rots From The Head”, “Leadership Is The Issue” dan “If Your Culture Stinks, Check The Top”, yang dilihat boleh mengundang salah faham, menghasut masyarakat serta menjejaskan keharmonian awam.
Pihak pelapor menegaskan bahawa institusi TYT Sabah merupakan lambang kedaulatan dan kehormatan negeri yang wajar dihormati oleh semua pihak. Sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh mencemarkan imej institusi tersebut tidak seharusnya dipandang ringan.
Sehubungan itu, pihak pelapor memohon pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap individu terbabit termasuk motif, niat serta kesan penyebaran hantaran tersebut, selain mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang sedia ada.
Siasatan juga dimohon dilaksanakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta mana-mana peruntukan undang-undang berkaitan sekiranya terdapat unsur kesalahan.
Orang ramai turut dinasihatkan agar menggunakan media sosial secara bertanggungjawab serta tidak menyebarkan sebarang kandungan yang boleh menggugat perpaduan, ketenteraman awam dan keharmonian negeri.
