KUDAT, 25 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat menahan sebuah bot tempatan yang didapati melanggar syarat lesen selain melibatkan kesalahan imigresen dalam satu operasi di perairan negara, hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bot berkenaan dikesan kira-kira tujuh batu nautika barat Tanjung Simpang Mengayau hasil maklumat daripada Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah.
Menurut beliau, bot tersebut kemudiannya dipintas oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Sejahtera dan Op Khas Pagar Laut.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan berdaftar di Malaysia namun lesen operasinya telah tamat tempoh, sekali gus melanggar Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati empat kru termasuk tekong, berumur antara 27 hingga 50 tahun, gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kesemua individu terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua kru bersama bot tersebut telah ditahan dan diiring ke jeti untuk tindakan serta siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.
Dalam pada itu Hasbullah menegaskan pihaknya akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.
Orang ramai khususnya komuniti maritim turut digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat bagi tindakan segera.
TAMAT
