Bekalan beras di Sabah mencukupi, mampu tampung keperluan hingga sembilan bulan

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA KINABALU, 15 Mac – Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa bekalan beras di Sabah berada pada tahap mencukupi dan stabil meskipun terdapat laporan kekurangan bekalan di beberapa daerah sejak kebelakangan ini.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, stok semasa yang terdapat di negeri ini mampu menampung keperluan rakyat sehingga tempoh sembilan bulan.

Menurutnya, jumlah berkenaan mengambil kira stok simpanan sedia ada selain bekalan dalam rantaian perdagangan termasuk yang dipegang oleh pemborong serta pengeluaran beras tempatan.

“Apabila digabungkan keseluruhan sumber bekalan termasuk stok perdagangan, pemborong dan pengeluaran tempatan, bekalan beras di Sabah dijangka mencukupi sehingga sembilan bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berhubung kekurangan bekalan beras yang didakwa berlaku di beberapa kawasan di negeri ini.

Jamawi menjelaskan, pihaknya telah mendapatkan maklumat lanjut daripada Bernas Negeri Sabah yang bertanggungjawab menyelaras pengedaran beras di Sabah.

Katanya, pihak Bernas memaklumkan bekalan sebenarnya masih mencukupi dan gangguan yang berlaku di beberapa daerah hanya bersifat sementara.

Menurutnya, penghantaran bekalan tambahan sedang dilaksanakan oleh pembekal yang dilantik bagi memastikan stok di kawasan terjejas kembali stabil dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat pembelian panik kerana kerajaan sentiasa memantau situasi bekalan makanan asas di negeri ini dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, Jamawi berkata kementeriannya turut mengambil beberapa langkah awal bagi meningkatkan pengeluaran padi tempatan sebagai usaha memperkukuh keselamatan makanan Sabah.

Antara usaha yang dilaksanakan termasuk sesi libat urus bersama pihak berkaitan di kawasan jelapang padi Terusan Sapi pada Februari lalu bagi menilai potensi peningkatan hasil pengeluaran padi.

Selain itu, perbincangan turut diadakan di kawasan jelapang padi Kota Belud bagi mengenal pasti cabaran yang menjejaskan produktiviti pesawah serta langkah penambahbaikan yang boleh diambil.

“Hasil sesi libat urus ini, beberapa langkah strategik telah dikenal pasti bagi meningkatkan hasil padi serta pengeluaran beras di Sabah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan menerima jaminan peruntukan daripada Kementerian Ekonomi bagi membuka tambahan kawasan sawah padi terbiar seluas kira-kira 2,000 hektar.

Kawasan pembangunan baharu itu melibatkan beberapa daerah termasuk Kota Belud, Terusan Sapi, Telupid, Tambunan, Keningau dan Tenom.

Langkah berkenaan dilihat mampu meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras Sabah dalam jangka panjang.

Namun begitu, Jamawi mengakui Sabah masih perlu bergantung kepada import beras bagi menampung permintaan semasa.

“Kebergantungan kepada import beras masih tidak dapat dielakkan buat masa ini kerana keadaan tersebut telah berlaku sejak sekian lama, namun kerajaan komited memastikan bekalan beras di Sabah kekal stabil dan mencukupi untuk rakyat,” katanya.

TAMAT

Share This Article