MPS ANJUR MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA MEDIA SANDAKAN

sabahheadlines
2 Min Read

Sandakan, 14 Mac – Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama rakan-rakan media di Sandakan sebagai tanda penghargaan terhadap kerjasama erat yang telah terjalin antara pihak majlis dan pengamal media.

Majlis yang berlangsung di Sabah Hotel itu dihadiri oleh Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Ahli-Ahli Majlis, Ketua-Ketua Jabatan, pegawai MPS serta wakil-wakil media daripada pelbagai agensi dan organisasi di Sandakan.

Dalam ucapannya, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan merakamkan penghargaan kepada pihak media atas peranan penting mereka dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat serta membantu mempromosikan pelbagai inisiatif pembangunan bandar yang dilaksanakan oleh MPS.

Menurut beliau, media merupakan rakan strategik kepada MPS dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan bandar, kelestarian alam sekitar serta imej bandar Sandakan sebagai bandar yang bersih, selamat dan mesra pelabur.

Beliau turut memaklumkan bahawa Sandakan mempunyai potensi ekonomi yang besar dengan kekuatan dalam sektor perkhidmatan, pertanian dan perindustrian, selain berperanan sebagai hab perdagangan utama di Pantai Timur Sabah.

Sehubungan itu, MPS terus memperkenalkan pendekatan pengurusan yang lebih mesra pelanggan melalui slogan “MPS Memudah Cara, Sandakan Terus Maju”, termasuk mempercepatkan proses permohonan lesen perniagaan, kelulusan pelan pembangunan serta menambah baik aspek kebersihan dan keindahan bandar.

Majlis tersebut turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara MPS dan rakan-rakan media, selaras dengan semangat Ramadan yang menekankan nilai kebersamaan, keinsafan dan kerjasama dalam membangunkan masyarakat.

MPS percaya bahawa kerjasama erat antara pihak majlis, masyarakat serta rakan media akan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan dan kemajuan bandar Sandakan pada masa hadapan.

OLEH: Jalie Mohamad

Share This Article