Kecurian Kabel Jejaskan Lampu Jalan di Batu Sapi, MP Gesa Tindakan Tegas

sabahheadlines
1 Min Read

BATU SAPI, 10 Mac : Kegiatan kecurian kabel dan fius di sepanjang Jalan Lintas Batu Sapi menimbulkan kebimbangan apabila insiden itu menyebabkan sebahagian besar lampu jalan di kawasan berkenaan tidak berfungsi.
Ahli Parlimen Batu Sapi, YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian tersebut kerana ia bukan sahaja menjejaskan kemudahan awam, malah boleh mengundang risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.

Menurutnya, pihak Majlis Perbandaran Sandakan sentiasa memberi perhatian terhadap setiap aduan yang disalurkan melalui Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batu Sapi, khususnya berkaitan masalah lampu jalan yang tidak berfungsi di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pihak majlis terpaksa menanggung kos tambahan setiap kali kerja pembaikan dilakukan kerana kabel serta fius lampu jalan sering menjadi sasaran kecurian. Malah, terdapat juga kes vandalisme yang melibatkan kerosakan pada kotak panel lampu.

Sehubungan itu, laporan telah dibuat kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan dan individu atau kumpulan yang terlibat dalam kegiatan jenayah tersebut dapat dikesan serta dihadapkan ke muka pengadilan.

Beliau berharap tindakan tegas dapat diambil bagi mengekang kejadian sama daripada terus berulang, sekali gus memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk serta pengguna jalan raya sentiasa terjamin.

TAMAT

Share This Article