Kedai Mesra PETRONAS Jadi Pemangkin Usahawan PMKS

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 11 Okt – Usahawan kecil dan sederhana (PMKS) di diseru agar menggunakan platform strategik dalam memasarkan produk tempatan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah, Siti Nur’ain binti Abdullah, berkata inisiatif kerjasama antara DIDR dan Petronas Dagangan Berhad (PDB) bukan sekadar membuka ruang pemasaran kepada usahawan tempatan tetapi juga menjadi pemangkin kepada ekosistem keusahawanan negeri yang lebih mampan.

“Program ini bertujuan memperkasakan usahawan PMKS Sabah dengan peluang memasarkan produk mereka di Kedai Mesra Petronas tanpa sebarang bayaran,” katanya.

Menurutnya, sejak dilaksanakan pada tahun 2021seramai 290 usahawan tempatan telah berjaya menembusi pasaran runcit dengan nilai jualan keseluruhan mencecah RM3.74 juta sehingga Januari tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pesta IKS Siuk Bah anjuran Midas Virtue Sdn. Bhd. dengan kerjasama Petronas Dagangan Berhad dan DIDR Sabah, yang diadakan di perkarangan Stesen Minyak Petronas Batu 8, Jalan Silam, Borneo Industrial Center, Lahad Datu, pada Sabtu.

Lebih 150 pengunjung hadir memeriahkan program berkenaan yang turut disertai pelbagai usahawan tempatan.

Turut hadir ialah Matthew Wong, Pengurus Operasi Runcit (Non-Fuel) Sabah, Sarawak dan Labuan, PDB; Azizul Amran, Ketua Cawangan KPDN Lahad Datu; Muhidin Asfar Sahrul, Pengurus Bahagian Runcit Bahan Api Wilayah Sabah dan Labuan; serta Ayu Fidura Kassim, Pengurus Stesen Minyak Petronas Batu 8, Jalan Silam.

Siti Nur’ain turut menekankan bahawa Kedai Mesra Petronas kini menjadi platform penting memperkenalkan produk buatan Sabah seperti kraftangan, amplang dan kuih cincin kepada pelancong serta pengguna luar.

“DIDR komited untuk terus menyokong usaha ini agar produk usahawan Sabah kekal berdaya saing dan dikenali di peringkat nasional selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri memperkasa sektor keusahawanan.

“Malah, kita berharap program seperti ini dapat diperluaskan ke Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

TAMAT

Share This Article