KOTA KINABALU, 5 Mac – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan serentak di sekitar Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Sipitang.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan menerusi Ops Sapu, Ops Mahir dan Ops Belanja yang menyasarkan lokasi tumpuan warga asing. Sepanjang operasi tersebut, seramai 70 individu telah diperiksa oleh pasukan penguat kuasa imigresen.
Hasil pemeriksaan mendapati 26 daripada mereka melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.
Menurut JIM Sabah, daripada jumlah yang ditahan, majoritinya adalah warganegara Filipina iaitu 25 orang membabitkan 15 lelaki dewasa, enam wanita dewasa serta empat kanak-kanak terdiri daripada seorang lelaki dan tiga perempuan.
Selain itu, empat lagi individu yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dewasa warga Indonesia dan dua lelaki dewasa warga Pakistan.
Siasatan awal mendapati mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, selain kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen bagi tujuan dokumentasi serta siasatan lanjut sebelum tindakan seterusnya diambil mengikut peruntukan undang-undang.
JIM Sabah dalam kenyataannya menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen negara, selaras dengan usaha memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara.
TAMAT
