MEDIA SABAH-NUNUKAN JALIN KERJASAMA

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ Syarmilah Salleh

TAWAU, 12 Ogos – Media Sabah dan Nunukan, Indonesia jalinkan kerjasama dalam bidang kewartawanan dan sukan.

Kerjasama itu antara Persatuan Jaringan Media Sabah (NUANSA) dengan Seksi Wartawan Olahraga (SIWO) Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) Nunukan.

Pertemuan di sini semalam dihadiri Ketua SIWO PWI Nunukan, Alamsyah, bersama Naib Presiden Persatuan Jaringan Media Sabah (NUANSA) merangkap Ketua Pemberita Pantai Timur Sabah Astro Awani/Awani Borneo, Haji Mohd Ridzal Abdullah, mewakili Presiden NUANSA, Ruzaini Zulkepli.

Turut hadir Pemangku Setiausaha Persatuan Wartawan dan Pengamal Media Tawau (PEWARTA) merangkap Wartawan Utusan Borneo, Hamzah Sanudin.

Alamsyah berkata, pertemuan itu bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah menjadi platform membina kerjasama lebih erat pada masa depan, khususnya dalam bidang sukan dan kewartawanan.

“Antara persetujuan yang dicapai ialah mengundang wartawan Sabah menghadiri Pekan Olahraga Wartawan Daerah (PORWADA) II Kalimantan Utara di Nunukan pada 2026 sebagai langkah konkrit pertama hasil perbincangan ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, undangan itu mendapat sambutan positif daripada wartawan Sabah, termasuk wakil tiga pertubuhan media utama di Tawau iaitu NUANSA, PEWARTA dan Persatuan Pemberita Tawau (PPT).

PORWADA II Kaltara dijangka turut diserikan dengan pelbagai acara, termasuk perlawanan ekshibisi melibatkan atlet dari Sabah.

Selain memupuk semangat kesukanan, program ini diharap menjadi medium pertukaran pengalaman serta mengeratkan hubungan rakyat di kedua-dua wilayah sempadan.

Pertemuan itu juga membuka peluang kerjasama jangka panjang merangkumi pertukaran wartawan, latihan bersama, liputan kolaboratif serta cadangan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memformalkan hubungan.

“Pada masa depan, kerjasama ini bukan hanya tertumpu pada sukan, malah boleh diperluas ke sektor budaya, pelancongan dan ekonomi, sekali gus menjadi bukti persahabatan Indonesia-Malaysia semakin erat,” katanya.

Pada Disember 2023, PWI Nunukan pernah mengadakan kunjungan hormat kepada PEWARTA bagi membincangkan pertukaran maklumat rasmi dan sokongan bersama di kawasan perbatasan.

TAMAT

Share This Article