Tujuh Cedera Ringan Dalam Nahas Dua Kenderaan di Jalan Segama

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 2 Mac – Tujuh individu mengalami kecederaan ringan selepas dua kenderaan bertembung dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Segama menghala ke Sandakan, petang ahad.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 2.57 petang sebelum sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai.

Komander Operasi, PBK II Roger Eging Garuda, melaporkan kemalangan itu membabitkan sebuah Toyota Hilux dan Perodua Aruz yang bertembung di laluan berkenaan.

Menurutnya, seramai tujuh mangsa terlibat terdiri daripada empat penumpang Perodua Aruz dan tiga penumpang Toyota Hilux.

Kesemua mangsa berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Pemeriksaan mendapati semua mangsa mengalami kecederaan ringan.

Pasukan EMRS memberikan rawatan awal di lokasi sebelum menghantar mereka ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya.

Mangsa dari Perodua Aruz terdiri daripada seorang lelaki dewasa (selamat), seorang wanita dewasa (cedera ringan), seorang kanak-kanak lelaki (cedera ringan) dan seorang kanak-kanak perempuan (cedera ringan).

Sementara itu, mangsa dari Toyota Hilux membabitkan seorang lelaki dewasa (selamat), seorang wanita dewasa (cedera ringan) dan seorang kanak-kanak perempuan (cedera ringan).

Operasi yang turut dibantu pihak Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia terkawal dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.05 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.

Sebanyak dua jentera iaitu sebuah FRT dan sebuah EMRS dengan kekuatan sembilan anggota dikerahkan dalam operasi berkenaan.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan berhati-hati ketika memandu khususnya di laluan berisiko kemalangan.

TAMAT

Share This Article