Hospital Tawau Baharu Mercu Tanda Sistem Kesihatan Moden di Sabah

sabahheadlines
1 Min Read

TAWAU – 10 NOV : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata lawatan kerjanya selama tiga hari ke Sabah bertujuan meninjau pembangunan infrastruktur serta memastikan rakyat negeri itu mendapat perkhidmatan kesihatan dan pendidikan berkualiti tinggi.

Ketika berada di Tawau, beliau merasmikan Blok Bangunan Baharu Hospital Tawau yang menurutnya bakal menjadi mercu tanda baharu sistem kesihatan di negeri itu.

Anwar menegaskan pembangunan ini melambangkan komitmen Kerajaan MADANI untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan moden, selamat dan berkualiti tinggi kepada rakyat Sabah.

Pelaksanaan projek naik taraf ini dijangka memberi manfaat besar kepada masyarakat di Pantai Timur Sabah serta memperkukuh keupayaan Hospital Tawau dalam menangani peningkatan jumlah pesakit dari semasa ke semasa.

“Saya juga menekankan bahawa pemantauan berterusan dan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri amat penting agar setiap projek seperti ini dapat disiapkan mengikut jadual, diselenggara dengan baik dan benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar berkata Kerajaan MADANI menekankan dua tonggak penting iaitu pendidikan dan kesihatan sebagai asas untuk mengangkat martabat rakyat serta memajukan negara.

Kedua-dua sektor ini katanya akan terus diberi perhatian dan ditambah baik dari segi perkhidmatan serta kemudahan demi kesejahteraan rakyat seluruhnya.

TAMAT

Share This Article