NABAWAN, 25 Feb — Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Nabawan menjalankan pemantauan susulan kejadian banjir di Pekan Pensiangan awal pagi tadi selepas menerima makluman daripada Balai Bomba dan Penyelamat mengenai situasi banjir di kawasan berkenaan.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Nabawan, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan pada jam 2.09 pagi memaklumkan kejadian banjir sebelum Skuad Alpha digerakkan bagi membuat pemantauan di lokasi terjejas.
Pasukan penyelamat APM Nabawan bergerak ke kawasan terlibat pada jam 2.11 pagi dan tiba di Pekan Pensiangan sekitar jam 4 pagi untuk menilai keadaan semasa.
Operasi pemantauan kemudian ditamatkan pada jam 6.30 pagi sebelum pasukan kembali ke PKOD dan selamat tiba pada jam 9.21 pagi dengan semua anggota serta peralatan dalam keadaan baik.
Seramai seorang pegawai dan empat anggota lain-lain pangkat terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan logistik merangkumi sebuah kenderaan penyelamat (MRV), jaket keselamatan, raincoat, helmet, peralatan pemotong serta kelengkapan keselamatan lain.
Pemantauan mendapati seramai tujuh mangsa daripada dua ketua isi rumah terjejas, melibatkan empat dewasa dan tiga kanak-kanak.
Paras air sungai direkodkan pada tahap waspada setakat jam 6 pagi. Keadaan cuaca dilaporkan mendung dan terdapat risiko banjir sekiranya hujan berterusan.
Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
Bagaimanapun, APM Nabawan akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
TAMAT
