Polis Penampang Perkasa Peranan Pegawai Perhubungan Melalui Latihan Profesional

sabahheadlines
1 Min Read

PENAMPANG, 25 Feb – Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang (IPD) menganjurkan sesi Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) bagi memperkukuh peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), Pegawai Perhubungan Masjid (PPM) dan Pegawai Perhubungan Gereja (PPG) dalam mempertingkat jalinan kerjasama dengan komuniti setempat.

Latihan yang diselaraskan oleh Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) itu menghimpunkan warga kerja polis daerah ini dengan fokus memperkemas fungsi pegawai perhubungan sebagai penghubung strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan institusi pendidikan serta rumah ibadat.

Sepanjang program berkenaan, peserta didedahkan kepada pendekatan komunikasi berkesan, teknik penyampaian mesej pencegahan jenayah, pengendalian isu disiplin pelajar serta usaha memperkasa institusi keagamaan sebagai medium penyebaran maklumat keselamatan.

Ketua BPJKK Penampang, ASP Jeffrey Jaidin, dalam taklimatnya menegaskan kepentingan konsep “Omnipresence” atau kehadiran menyeluruh polis dalam komuniti bagi memastikan masyarakat sentiasa merasai keberadaan dan kesiapsiagaan pasukan keselamatan.

Beliau berkata, pendekatan proaktif melalui pengukuhan kompetensi pegawai perhubungan mampu meningkatkan tahap kepercayaan awam terhadap pasukan polis sekali gus menyumbang kepada persekitaran yang lebih selamat dan harmoni.

IPD Penampang komited untuk meneruskan inisiatif latihan seumpama ini dari semasa ke semasa sebagai sebahagian daripada usaha berterusan mempertingkat mutu perkhidmatan kepolisan yang profesional dan berintegriti.

TAMAT

Share This Article