SEDIA Perkukuh Agenda SMJ, Pacu Pelaburan Strategik Sabah

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA KINABALU, 24 Februari – Agenda pembangunan yang digerakkan menerusi Koridor Pembangunan Sabah (SDC) terus diperkasa sebagai antara instrumen utama menyokong pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, peranan SDC yang diselaraskan oleh Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) kini menjadi komponen penting dalam memperkukuh strategi pembangunan negeri secara menyeluruh, selaras dengan aspirasi nasional di bawah gagasan Malaysia Madani.

Beliau menegaskan, dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompetitif, Sabah perlu memberi tumpuan kepada pelaburan berimpak tinggi yang mampu menjana pekerjaan bernilai tambah, mengukuhkan rantaian bekalan tempatan serta memberi manfaat langsung kepada komuniti.

Menurutnya, SEDIA memainkan fungsi sebagai penyelaras dan pemudah cara utama yang menghubungkan Kerajaan Negeri, agensi Persekutuan serta pihak swasta dalam merancang dan merealisasikan pelaburan strategik.

“Kerajaan negeri komited memastikan pembangunan dilaksanakan secara inklusif dan seimbang di seluruh Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Sungkai Kurung-Kurung Ketua Menteri bersama ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan di Menara Kinabalu.

Di bawah kerangka SDC, beberapa kajian utama telah dimuktamadkan bagi memperkukuh perancangan pembangunan wilayah. Antaranya termasuk pelan induk ekonomi dan pelan perniagaan bagi Palm Oil Industrial Cluster Sandakan; kajian pembangunan Zon Ekonomi Bebas, hab logistik dan depoh penyimpanan sejuk di Palm Oil Industrial Cluster Lahad Datu; kajian pembangunan ekonomi sempadan Sabah; serta pelan induk pembangunan Lembah Makanan di kawasan pedalaman.

Beliau berkata, dapatan kajian tersebut menjadi asas kukuh untuk merangsang pertumbuhan ekonomi wilayah secara mampan dan lebih tersusun.

Dalam aspek tadbir urus, SEDIA turut mencatat rekod cemerlang apabila menerima Sijil Bersih Tanpa Teguran bagi penyata kewangan selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009 hingga 2024, sekali gus mencerminkan tahap integriti dan pengurusan kewangan yang mantap.

Seiring pendekatan pembangunan berteraskan rakyat, kerajaan negeri turut melaksanakan projek infrastruktur berskala kecil berimpak tinggi sepanjang tempoh 2020 hingga 2025. Inisiatif melibatkan tiga wilayah pembangunan utama – Barat, Tengah dan Timur – merangkumi 32 daerah serta daerah kecil di seluruh negeri.

Secara kumulatif, sebanyak 1,126 projek telah dilaksanakan bagi meningkatkan akses kemudahan asas, merapatkan jurang pembangunan serta memperkukuh keterangkuman sosioekonomi, khususnya di kawasan luar bandar.

Pada masa sama, Ketua Menteri menyeru semua ketua jabatan agar terus mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi dan memperkukuh tadbir urus organisasi demi menjayakan agenda “Sabah Didahulukan”.

Dalam majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan Sumbangan Kasih Ramadan kepada 16 pusat tahfiz dan institusi pengajian Islam berdaftar sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan agama.

TAMAT

Share This Article