PAITAN, 22 Feb — Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Paitan bertindak pantas membantu sembilan pelajar calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2025 yang terjejas banjir untuk meneruskan perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Salaping di Kota Marudu hari ini.
Operasi bantuan itu dilaksanakan susulan paras air yang meningkat dan menjejaskan laluan utama keluar masuk kawasan kediaman pelajar, sekali gus menyukarkan mereka untuk hadir ke sekolah bagi mengikuti sesi pembelajaran serta persediaan peperiksaan.
Menurut pihak bertugas, anggota APM menggunakan kenderaan jabatan dan kaedah pemindahan yang selamat serta terkawal bagi mengeluarkan pelajar dari kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada aspek keselamatan sepanjang operasi dijalankan.
Operasi berkenaan berjalan lancar hasil kerjasama anggota yang komited memastikan kebajikan pelajar terpelihara selain mengurangkan kebimbangan ibu bapa dalam menghadapi situasi bencana banjir.
Bantuan tersebut memberi impak besar kerana memastikan pelajar tidak tercicir daripada pembelajaran dan dapat meneruskan persediaan menghadapi peperiksaan penting, sekali gus mengekalkan kesinambungan pendidikan walaupun berdepan cabaran bencana.
Tindakan itu turut mencerminkan peranan penting agensi penyelamat dalam membantu komuniti selain membuktikan tahap kesiapsiagaan pasukan dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terjamin.
TAMAT
