Pemantauan Hotspot Bencana di Telupid Beberapa Jalan Dinaiki Air, Keadaan Masih Terkawal

sabahheadlines
2 Min Read

TELUPID, 20 Feb — Keadaan di beberapa kawasan berisiko banjir di daerah ini dilaporkan masih selamat dan terkawal walaupun hujan berterusan sejak 19 Februari lalu menyebabkan beberapa jalan perhubungan dinaiki air.

Menurut laporan pemantauan yang dikeluarkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Telupid, pasukan telah digerakkan seawal jam 8.27 pagi bagi meninjau lokasi hotspot bencana susulan keadaan cuaca tidak menentu.

Pasukan yang terdiri daripada seorang pegawai dan tiga anggota telah membuat pemeriksaan di beberapa kampung termasuk Kampung Terasak, Kampung Gana Jati, Kampung Perancangan, Kampung Biru-Biru, Kampung Bakong-Bakong, Kampung Bambangan dan Kampung Sualok.

Hasil pemantauan mendapati paras air di kebanyakan kawasan masih dalam tahap normal namun terdapat beberapa jalan rendah dinaiki air sehingga tidak dapat dilalui kenderaan kecil khususnya di Kampung Perancangan, Kampung Bakong-Bakong dan Kampung Sualok.

Di Kampung Gana Jati dan Kampung Bambangan pula rumah di kawasan rendah serta berhampiran sungai dikenal pasti berisiko sekiranya hujan berterusan.

Bacaan paras air sungai menunjukkan Kampung Sualok merekodkan paras 2.5 meter diikuti Kampung Bakong-Bakong (0.6 meter), Kampung Perancangan (0.3 meter) manakala Kampung Gana Jati kekal pada paras sifar.

Operasi pemantauan menggunakan sebuah kenderaan LRV bersama kelengkapan keselamatan termasuk jaket keselamatan dan helmet bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan.

Pihak APM memaklumkan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa dan orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terutama penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

TAMAT

Share This Article