Sabah, Sarawak Perkukuh Kerjasama Pengangkutan Awam dan Logistik

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 12 Feb – Kerajaan Sabah dan Sarawak bersetuju mempertingkat kerjasama strategik dalam bidang pengangkutan awam serta logistik bagi memperkukuh jaringan perhubungan antara kedua-dua negeri.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, perkara itu dibincangkan semasa kunjungan hormat Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam pertemuan itu, Ewon turut merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Sarawak atas pengambilalihan MASwings yang kini dikenali sebagai AirBorneo, disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkasa industri penerbangan dan perhubungan udara di rantau Borneo.

Beliau berkata, kedua-dua pihak turut meneliti ruang kerjasama lebih luas khususnya berkaitan sistem pengangkutan awam, pengurusan logistik serta inisiatif mempertingkat kecekapan perkhidmatan kepada rakyat.

Ewon turut memaklumkan beliau akan mengadakan kunjungan balas ke Kuching dalam masa terdekat bagi meneruskan perbincangan dan mengukuhkan hubungan kerja yang telah terjalin

TAMAT

Share This Article