KOTA KINABALU, 20 JULAI – Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) digesa mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah gangguan bekalan dan tekanan air rendah yang berlarutan di beberapa kawasan sekitar Tanjung Keramat khususnya di daerah Putatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.24 Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, isu sistem agihan air yang tidak stabil telah menjejaskan dianggarkan antara 10,000 hingga 25,000 penduduk di Kampung Meruntum, Kampung Muhibbah, Kampung Contoh, Taman Pantai Lok Kawi, Pasir Putih serta kawasan sekitarnya.
Beliau berkata, walaupun kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah jangka pendek termasuk meningkatkan kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Kasigui, masalah tekanan air dalam rangkaian paip agihan di Putatan masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.
“Ini adalah isu lapuk yang amat menyusahkan kehidupan harian penduduk. Gangguan bekalan air berlaku terutama pada waktu puncak sekali gus memberi kesan besar kepada ribuan pengguna di kawasan terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbekalan Tambahan 2026 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 di Bangunan DUN Sabah, di sini pada Isnin.
Shah Alfie berkata, JANS sebelum ini menerima peruntukan tambahan sebanyak RM201 juta daripada Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah iaitu peruntukan terbesar yang pernah disalurkan kepada jabatan itu dan berharap dana berkenaan dimanfaatkan secara bersasar bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Putatan.
“Justeru dengan adanya peruntukan tambahan RM201 juta ini, saya menggesa Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah serta JANS memastikan dana tersebut digunakan secara berfokus untuk menyelesaikan isu bekalan air di kawasan Putatan,” katanya.
Beliau turut mengemukakan beberapa tuntutan termasuk penggantian sistem perpaipan yang uzur, penyelenggaraan pam penggalak serta penyediaan garis masa yang jelas bagi pelaksanaan kerja-kerja pemulihan bekalan air di Tanjung Keramat.
Selain itu, beliau mahu JANS lebih proaktif dalam menangani aduan berkaitan bekalan air dengan memastikan pegawai di peringkat daerah sentiasa mudah dihubungi, bersedia turun padang dan bertindak pantas apabila berlaku krisis.
“Rakyat mahu melihat peruntukan ratusan juta ringgit yang diluluskan ini diterjemahkan kepada hasil kerja yang cekap, cepat dan memberi impak nyata kepada kehidupan mereka,” katanya.
