PPM W4 SABAH TUMPAS PENYELUDUPAN ROKOK, RAMPASAN LEBIH RM601,000

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 25 OGOS – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok disyaki tidak bercukai menerusi serbuan di Jeti Kampung Sri Aman, Batu 3, di sini, awal pagi kelmarin.

Serbuan kira-kira jam 2.20 pagi itu dilakukan hasil risikan dan pemantauan pasukan yang mengesan aktiviti mencurigakan dipercayai berkaitan penyeludupan rokok dari negara jiran.

Dalam operasi berkenaan, pasukan PPM menemukan dua bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang dipercayai digunakan untuk membawa barangan seludup.

Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah kotak mengandungi rokok disyaki tidak bercukai membabitkan 250,000 batang rokok putih jenama Premium International bernilai RM375,000 serta 48,000 batang rokok kretek jenama Menara Dunia bernilai RM86,400.

Turut dirampas dua bot fiber dan dua enjin bot Yamaha berkuasa 200 kuasa kuda (HP) menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM601,400.

Bagaimanapun individu yang dipercayai terlibat bertindak melarikan diri dengan terjun ke laut ketika serbuan dilakukan.

Usaha mengesan suspek tidak dapat diteruskan berikutan keadaan persekitaran yang gelap.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 55 kes di bawah Akta Kastam 1967 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM7,337,542.61 selain berjaya menahan 39 individu.

Pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan PPM Wilayah 4 Sabah dalam membanteras kegiatan penyeludupan khususnya di kawasan perairan dan sempadan Pantai Timur Sabah.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata pihaknya akan terus memperhebatkan risikan, rondaan dan operasi penguatkuasaan di lokasi yang dikenal pasti sebagai laluan kegiatan penyeludupan.

Beliau menegaskan PPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang dan akan mengambil tindakan tegas serta berterusan bagi mengekang aktiviti penyeludupan.

Langkah itu turut penting bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Share This Article