Sandakan, 26 Februari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara HIDUP ‘KPDN’ Cawangan Sandakan berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan minyak diesel bersubsidi tanpa permit dalam serbuan di Kampung Segaliud pada 24 Februari 2026.
Sebanyak 1,200 liter diesel di dalam enam tong drum disita dengan nilai rampasan RM5,340.00. Seorang lelaki warga asing berusia 51 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran. Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Sejak 1 Januari hingga 26 Februari 2026, KPDN Sandakan telah membuka 11 kes di bawah Akta sama dengan nilai rampasan RM965,742.21 serta 26 kes lain di bawah pelbagai undang-undang dengan jumlah rampasan RM11,634.60.
KPDN Sandakan akan terus mempergiatkan pemantauan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan.
Oleh : Jalie mohamad
