HAJIJI TELITI CADANGAN SEKOLAH MENENGAH AGAMA NEGERI (SMAN) & PEMBESARAN JALAN TENGAH NIPAH

sabahheadlines
3 Min Read

LAHAD DATU, 18 APRIL-Kerajaan negeri akan meneliti cadangan pembinaan sebuah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) serta pembesaran jalan di Jalan Tengah Nipah bagi meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan rakyat di daerah ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kedua-dua permohonan itu akan dipertimbangkan selepas laporan terperinci diperoleh termasuk anggaran kos dan peruntukan yang diperlukan sebelum sebarang kelulusan dibuat.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk melaksanakan pembangunan yang benar-benar diperlukan rakyat.

“Saya setuju agar sebuah sekolah menengah agama dibina dan jalan raya dibesarkan. Kalau itu keperluan rakyat di Lahad Datu, kenapa tidak? Kita ada kewangan dan hasil negeri yang semakin meningkat untuk membantu rakyat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan selain pembangunan fizikal, kerajaan negeri juga memberi perhatian kepada kebajikan golongan kurang berkemampuan termasuk bantuan bulanan RM200 kepada kira-kira 140,000 penerima dalam kategori miskin dan miskin tegar tahun ini.

Hajiji berkata demikian ketika menjawab permohonan yang dikemukakan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tungku, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan pada Majlis Kesyukuran dan Rumah Terbuka Aidilfitri di sini, Khamis lalu.

Dalam pada itu beliau menegaskan Lahad Datu mempunyai potensi besar untuk dibangunkan dengan pelbagai perancangan sedang dirangka kerajaan negeri.

Menurutnya, selain pembangunan Palm Oil Industrial Cluster (POIC) daerah ini juga berpotensi menjadi lokasi pelancaran roket satelit bergantung kepada kesesuaian sekali gus mampu menarik kedatangan pelancong, penyelidik dan saintis serta merancakkan ekonomi tempatan.

Beliau berkata sejak menerajui kepimpinan negeri keutamaan diberikan kepada keperluan rakyat tanpa mengira latar belakang.

Sehubungan itu, beliau mengajak masyarakat terus menyokong usaha kerajaan bagi memastikan lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan, sambil memberi jaminan bahawa Lahad Datu tidak akan dipinggirkan dalam perancangan negeri.

Terdahulu Hajiji turut memuji penganjuran majlis berkenaan yang disifatkan sebagai platform mengeratkan silaturahim dan memperkukuh perpaduan masyarakat.

Sementara itu Abdul Hakim berkata majlis tersebut dianjurkan sebagai tanda kesyukuran atas kemenangan Presiden PGRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu serta pembentukan kerajaan negeri yang berjaya menstabilkan keadaan politik.

Beliau turut mengulangi permohonan pembinaan SMAN di daerah ini serta pembesaran Jalan Tengah Nipah bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang dihadapi penduduk setiap hari.

Share This Article