TAWAU, 8 APRIL- Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kes rogol seorang remaja perempuan selepas mangsa didapati hamil hasil pemeriksaan perubatan di hospital, baru-baru ini.
Kejadian terbongkar apabila mangsa mengadu sakit pada bahagian sulit sebelum dibawa oleh ahli keluarganya mendapatkan rawatan. Pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan mengesahkan remaja berkenaan mengandung sekali gus mencetuskan laporan polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, siasatan awal mendapati mangsa mengaku pernah melakukan hubungan seksual dengan seorang lelaki yang dikenalinya di sebuah hotel di daerah ini.
Susulan laporan itu, sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau menjalankan operasi khas dan berjaya menahan dua lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an di kawasan Jalan St Patrick.
“Penahanan kedua-dua suspek kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki warga asing berusia 29 tahun di hadapan sebuah kilang di Batu 3, Jalan Apas,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana kesalahan rogol serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 berkaitan kesalahan imigresen.
Polis menegaskan siasatan masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses perundangan
