Sandakan, 15 Mac – Program Perarakan Kompang di Atas Lori Berhias sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 telah berlangsung dengan meriah bermula jam 2.30 petang dari Dataran Majlis Perbandaran Sandakan melalui beberapa laluan utama di sekitar bandar sebelum berakhir di Restoran Norlisa Sandakan, Bandar Labuk Jaya, Batu 7.
Program yang menampilkan persembahan kumpulan kompang di atas lori berhias ini bertujuan memeriahkan suasana Ramadan serta menyemarakkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat di daerah ini.
Antara tarikan utama program ialah penyertaan beberapa pemimpin masyarakat yang turut sama menyertai perarakan dengan menaiki lori berhias sambil bermain kompang bersama para peserta. Mereka termasuk YB Vivian Wong Shir Yee, YB Tang Szu Ching serta YBhg. Tuan Walter Kenson,
Presiden Majlis Perbandaran Sandakan.
Perarakan turut singgah di Kediaman Sri Libaran bagi majlis berbuka puasa bersama masyarakat setempat termasuk penduduk Sungai Manila serta para pemain kompang.
Selepas berbuka puasa, acara diteruskan dengan solat berjemaah, sesi bergambar serta pertunjukan bunga api sebelum perarakan dilepaskan semula.
Program ini juga disempurnakan pelepasannya oleh Yang Berhormat Tuan Haji Hazem Mubarak dan mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri N.51 Sungai Manila.
Majlis yang penuh warna-warni ini bukan sahaja menghidupkan tradisi permainan kompang, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat dalam suasana penuh muhibah sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang.
Oleh : Jalie mohamad
