MUZIK KAAMATAN KEMBALI BERSINAR DENGAN DERETAN KARYA BAHARU TERBITAN AJ PRODUCTIONS

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA KINABALU, 26 MEI-Sempena kemeriahan sambutan Pesta Kaamatan tahun ini, AJ Productions kembali memeriahkan industri hiburan Sabah menerusi penerbitan beberapa karya baharu yang mengetengahkan identiti budaya, semangat perpaduan dan keunikan warisan masyarakat borneo.

Deretan lagu yang diterbitkan khas sepanjang musim Kaamatan kali ini bukan sahaja tampil sebagai hiburan kepada pendengar malah menjadi platform penting dalam memperkukuhkan kedudukan muzik tempatan Sabah dalam industri muzik semasa.

Antara karya yang mencuri perhatian ialah lagu Montok Tadau Kaamatan nyanyian Nic O’ Niel yang hadir dengan nuansa ceria, santai dan penuh semangat perayaan.

Lagu itu menampilkan melodi ciptaan Kaynizam Maskor manakala liriknya ditulis sendiri oleh Nic O’ Niel.

Penyanyi yang sebelum ini dikenali menerusi debut “Hadirmu Kasih” bersama Asmi Andi Yakin itu kini tampil dengan single terbaharu di tengah kehangatan sambutan Kaamatan tahun ini.

Karya berkenaan menggambarkan kegembiraan masyarakat Sabah meraikan Kaamatan bersama keluarga, sahabat-handai dan komuniti setempat, selain menampilkan irama yang mudah melekat di hati pendengar.

Turut menghangatkan musim perayaan ialah lagu Guyang Kaamatan nyanyian Rich yang tampil dengan rentak lebih rancak dan menghiburkan.

Selari dengan tajuknya, lagu itu membawa mesej kegembiraan dan mengajak masyarakat menikmati kemeriahan sambutan Kaamatan bersama-sama.

Gabungan elemen muzik moden bersama sentuhan identiti tempatan menjadikan karya berkenaan antara lagu yang berpotensi menjadi pilihan utama sepanjang musim perayaan tahun ini.

Dalam pada itu, Calrice John Matha bersama Andrew Poninting turut tampil dengan versi baharu lagu malar segar Tondu Unduk Ngadau.

Lagu ciptaan Jasnie Mohd Yaakub dengan lirik oleh Datuk Illyas Ibrahim itu sebelum ini pernah dipopularkan oleh Donna Masidah dan cukup dekat di hati peminat muzik tempatan.

Versi terkini itu diberikan susunan muzik lebih moden tanpa menghilangkan keindahan dan nilai sentimental karya asalnya.

Gabungan vokal Calrice dan Andrew pula berjaya membawa elemen nostalgia selain menyerlahkan penghormatan terhadap budaya Kadazandusun yang sinonim dengan sambutan Kaamatan.

Tidak ketinggalan, bekas juara Sugandoi 2023, Jill Gaisah turut memeriahkan musim Kaamatan menerusi lagu Kaubusanan Kaamatan.

Lagu hasil karya Jasnie Mohd Yaakub dan Lydia Kalidin itu sebelum ini pernah dipersembahkan oleh Auni Nabilla.

Namun versi baharu yang dibawakan Jill tampil lebih segar menerusi vokal yang lembut dan penuh emosi selain mengetengahkan elemen kerinduan terhadap kampung halaman, budaya serta memori Kaamatan yang sentiasa dirindui setiap kali tibanya bulan Mei.

Menurut AJ Productions, penerbitan karya-karya ini bukan sekadar bertujuan menghiburkan masyarakat tetapi juga sebagai usaha berterusan dalam mengangkat martabat muzik tempatan Sabah agar terus berkembang dan relevan dalam industri muzik tanah air.

Dengan kehadiran pelbagai karya baharu daripada artis tempatan Sabah, sambutan Pesta Kaamatan tahun ini dilihat lebih meriah dan berwarna-warni, sekali gus membuktikan muzik tempatan terus mendapat tempat di hati pendengar.

Share This Article