SANDAKAN, 3 Feb- Keheningan awal pagi bertukar tragedi apabila sebuah kereta Proton Saga terbabas sebelum merempuh pokok di Jalan Utara, di sini mengorbankan seorang wanita kira-kira jam 6 pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Siti Madina Hassan, 51 merupakan penumpang kenderaan berkenaan.
Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan,” katanya.
Terdapat tiga mangsa terlibat dalam kejadian itu dan kesemuanya berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas.
Bagaimanapun mangsa wanita disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Sementara itu pemandu dan seorang lagi penumpang hanya mengalami kecederaan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Sandakan menggunakan jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
TAMAT
