DBKK Perketat Pemantauan Tapak Bina, Beberapa Kompaun dan Sitaan Dikeluarkan

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 3 Februari 2026 — Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mempergiat penguatkuasaan terhadap pematuhan peraturan pembinaan menerusi Ops Bersepadu Tapak Bina yang dijalankan di beberapa lokasi projek sekitar bandar raya, pada 31 Januari dan 1 Februari lalu.

Operasi selama dua hari itu melibatkan 18 pegawai daripada Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Kejuruteraan serta Jabatan Penguatkuasaan DBKK, dengan tumpuan kepada pematuhan tempoh dan hari kerja yang diluluskan.

Pada hari pertama pemeriksaan, DBKK mengeluarkan dua kompaun di bawah Undang-undang Kecil (Bangunan) 1951 selepas mendapati kerja pembinaan dijalankan melebihi masa yang dibenarkan.

Selain itu, pihak berkuasa turut menyita beberapa peralatan termasuk panel kawalan lif pengangkut, bateri lori 10 tan dan kunci kenderaan bagi tujuan penguatkuasaan.

Pemantauan diteruskan pada hari berikutnya susulan aduan orang awam terhadap sebuah tapak bina yang didakwa mengingkari syarat operasi. Hasil pemeriksaan mengesahkan pelanggaran tempoh kerja, menyebabkan satu kompaun dikeluarkan kepada pihak pemaju dan peralatan kimpalan disita.

DBKK menegaskan semua pemaju dan kontraktor wajib mematuhi kelulusan pelan bangunan serta peruntukan Undang-undang Kecil (Bangunan) 1951.

Sebarang ketidakpatuhan akan dikenakan tindakan tegas bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat bandar raya terus terpelihara.

TAMAT

Share This Article