KOTA KINABALU, 15 MEI- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 54 warga asing menerusi operasi penguatkuasaan Ops Sapu dan Ops Kutip yang dijalankan di Sipitang dan Semporna.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Sabah berkata, operasi di Sipitang memeriksa 68 individu sebelum menahan 50 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas.
“Tangkapan membabitkan 48 warga Filipina terdiri daripada 14 lelaki dewasa, 12 wanita dewasa, 10 kanak-kanak lelaki dan 12 kanak-kanak perempuan, selain dua lelaki warga Pakistan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, operasi di Semporna pula memeriksa enam individu dan menahan empat lelaki warga Pakistan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya, JIM Sabah akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi mengekang kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan undang-undang imigresen negara dipatuhi.
