SANDAKAN,20 Oktober – Kesungguhan menimba ilmu, disiplin dan komitmen selama beberapa tahun membuahkan hasil apabila 17 murid Tahun Enam Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK(C) Chi Hwa) berjaya meraih Anugerah Ketua Pengakap Negara – Rambu Pengakap Kanak-kanak 2026 iaitu pengiktirafan tertinggi bagi peringkat Pengakap Kanak-kanak.
Kejayaan itu bukan sahaja membanggakan pihak sekolah malah membuktikan keberkesanan aktiviti kepengakapan dalam membentuk sahsiah, memupuk semangat berpasukan serta melatih murid menjadi individu yang berdisiplin dan berdaya tahan.
Majlis penyampaian anugerah berlangsung di Gilwell Scouts Nature Park, Sandakan, pada Ahad lalu.
Seramai 17 penerima anugerah itu ialah Dennis Liirose John, Muhammad Muaz, Nelson Lim Zhe Yu, Hansel Raian Raiki, Justin Khoo Kian Tik, Main bin Omar, Abdul Fattah, Ivan Matthew Chang dan Jaydee Dylan David Chen.
Turut menerima anugerah ialah Liew Zhi Fung, Mohammad Noah Adrian, Muhammad Izwan, Aryan Rayyan, Muhammad Harris Aryan, Muhammad Raef Mikhail, Stadyan Xavier Adrian dan Wellsonn Wong Wei Shann.
Kesemua murid berkenaan mula menyertai Persatuan Pengakap Kumpulan 07 SJK(C) Chi Hwa sejak Darjah Tiga dan menjalani latihan serta pembelajaran kepengakapan secara berperingkat di bawah bimbingan guru pengakap.
Sepanjang tempoh itu, mereka melengkapkan ujian Lencana Keahlian dan lencana kepandaian yang diwajibkan sebelum meneruskan latihan bagi tiga lencana kemajuan Pengakap Kanak-kanak iaitu Lencana Keris Gangsa, Lencana Keris Perak dan Lencana Keris Emas.
Kejayaan melengkapkan semua ujian yang ditetapkan membolehkan mereka memperoleh anugerah tertinggi pada peringkat berkenaan selepas melalui proses pembelajaran, latihan dan penilaian selama beberapa tahun.
Guru Besar SJK(C) Chi Hwa, Puan Wong Suk Jin melahirkan rasa bangga dan gembira atas pencapaian berkenaan selain menghargai kesungguhan murid-murid yang kekal komited dalam aktiviti kepengakapan sehingga berjaya memperoleh pengiktirafan itu.
Beliau berharap semua penerima anugerah akan terus aktif dalam pergerakan Pengakap apabila melangkah ke sekolah menengah, seterusnya berusaha mencapai pengiktirafan lebih tinggi iaitu Pengakap Raja.
Pada masa sama, beliau menggalakkan murid-murid Pengakap lain menjadikan kejayaan 17 penerima itu sebagai inspirasi untuk terus menimba ilmu, meningkatkan kemahiran dan berani menyahut cabaran.
Pencapaian itu turut mencerminkan peranan penting guru dan pihak sekolah dalam membimbing murid bukan sahaja dari aspek akademik malah dalam pembentukan sahsiah, kepimpinan dan semangat kepengakapan.
Kejayaan berkenaan diharap menjadi pemangkin kepada lebih ramai murid SJK(C) Chi Hwa untuk mengembangkan potensi diri, mengamalkan nilai-nilai kepengakapan dan mengharumkan nama sekolah pada masa hadapan.
