KOTA KINABALU,27 SEPT – Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu (PBAKK) 2026 terus menjadi wadah penting dalam menyemarakkan budaya membaca dan pembudayaan ilmu dalam kalangan masyarakat Sabah.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman, berkata usaha memperkukuh budaya membaca perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana penguasaan ilmu mampu memberi manfaat besar kepada masyarakat serta menyokong pembangunan negeri.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan PBAKK 2026 yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.
Menurut Tun Musa yang juga Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), penganjuran pesta buku seperti PBAKK perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat sebagai ruang mendapatkan bahan bacaan, memperluas pengetahuan dan seterusnya membudayakan amalan membaca.
Terdahulu, Tun Musa turut diiringi Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kassim Mansor meninjau ruang pameran yang menghimpunkan pelbagai penerbit serta bahan bacaan dari dalam dan luar negara.
PBAKK 2026 turut menjadi platform kepada penerbit, penulis, penggiat industri buku dan masyarakat untuk berinteraksi selain menyokong perkembangan ekosistem perbukuan di Sabah.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah pegawai-pegawai utama UMS.
