KINABATANGAN,26 MEI-Jalan utama menghubungkan Sandakan dengan Lahad Datu di WP25 Sukau dekat sini runtuh awal pagi tadi sekali gus menjejaskan ribuan pengguna jalan raya yang melalui laluan berkenaan.
Pegawai Daerah Kinabatangan, Suhaimi Ejip berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah untuk segera mengenal pasti punca kejadian serta mengambil tindakan penyelesaian secepat mungkin.
Beliau berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan tersebut selain bersabar dengan kesulitan yang dihadapi susulan kejadian itu.
“JKR daerah telah diarahkan untuk segera mengenal pasti punca runtuhan dan melaksanakan tindakan susulan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jalan Sukau yang terletak dalam daerah Kinabatangan merupakan laluan utama menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah selain menjadi sebahagian daripada jajaran projek Lebuhraya Pan Borneo yang sedang giat disiapkan.
Kejadian itu dipercayai berpunca daripada struktur tanah yang mendap dan tidak kukuh sama seperti insiden runtuhan jalan yang pernah berlaku sebelum ini di kawasan Silam, Lahad Datu.
Setakat ini kerja pemantauan dan pemeriksaan sedang dijalankan pihak berkaitan bagi memastikan keadaan laluan berada pada tahap selamat untuk digunakan pengguna jalan raya.
