KEBAKARAN LIBATKAN DUA DAERAH , 67 MANGSA DIPINDAHKAN KE PPS DI KUDAT

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 19 APRIL– Seramai 67 penduduk daripada 18 Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas akibat kejadian kebakaran di Sabah setakat jam 12 tengah hari ini, dengan sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi di Kudat.

Berdasarkan maklumat rasmi Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah, kebakaran di Kudat merekodkan tujuh rumah terjejas manakala semua mangsa ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Perpaduan Gumpa yang dibuka sejak 16 April lalu.

Situasi di Kudat dilaporkan kekal dengan jumlah mangsa tidak menunjukkan perubahan ketara sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Sementara itu, dua PPS turut dibuka di Sandakan susulan kebakaran yang berlaku awal pagi tadi, masing-masing di Dewan PPR Batu Sapi dan Dewan Sekolah Kebangsaan Gas.

Bagaimanapun jumlah mangsa di daerah berkenaan masih dalam proses pendaftaran oleh pihak berkuasa.

Secara keseluruhan dua daerah terlibat dalam bencana kebakaran kali ini dengan tiga PPS dibuka setakat ini.

Tiada kematian dilaporkan dan setakat ini juga tiada mangsa direkodkan berada di luar PPS atau terperangkap akibat bencana berkenaan.

Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan pemantauan berterusan sedang dijalankan khususnya di Sandakan bagi memastikan semua mangsa terjejas didaftarkan dan menerima bantuan sewajarnya.

Orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko tambahan sepanjang tempoh bencana.

Share This Article