SOOK, 9 Februari – Dua lelaki cedera dalam satu kemalangan jalan raya YB melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Single Cab yang terbabas sendiri dan melanggar besi pembahagi jalan di Batu 27, Jalan Sook–Nabawan, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.05 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook digerakkan ke lokasi kejadian, sejauh kira-kira empat kilometer.
Komander Operasi, PBK I Maimin bin Yabin berkata, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 7.09 pagi dan mendapati sebuah kenderaan Toyota Single Cab terbabas sendiri lalu merempuh besi penghadang jalan.
“Menurut maklumat saksi di lokasi, terdapat dua mangsa lelaki terlibat dalam kemalangan tersebut dan kedua-duanya telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan di kawasan kejadian bagi memastikan tiada risiko bahaya lain sebelum membantu mengeluarkan kenderaan terbabit daripada besi penghadang jalan menggunakan peralatan Hydraulic Rescue Tools.
Operasi yang melibatkan seramai enam anggota BBP Sook itu turut dibantu oleh dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan berjaya ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.26 pagi.
Kedua-dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dengan salah seorang berusia 30 tahun manakala identiti seorang lagi mangsa masih belum diperoleh.
TAMAT
