KOTA KINABALU, 8 Februari – Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia manakala lima individu lain cedera dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang terbabas sendiri masuk ke dalam longkang di tepi jalan berhampiran Dewan Hakka, Jalan Signal Hill Park, malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.52 malam sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira tujuh kilometer.
Komander Operasi, PBK II Muhamad Shafie bin Jumiran berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 10.59 malam dan mendapati sebuah Toyota Hilux terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam longkang di tepi jalan.
“Seramai enam mangsa terlibat dalam kemalangan ini dengan lima daripadanya mengalami kecederaan manakala seorang mangsa seorang kanak-kanak perempuan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Menurut beliau, mangsa yang cedera terdiri daripada lelaki dan wanita berusia antara 19 hingga lingkungan 20-an termasuk dua mangsa yang mengalami kecederaan parah.
Kesemua mangsa cedera telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM serta jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) Bomba bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut dan siasatan.
Operasi menyelamat yang melibatkan seramai 11 anggota BBP Kota Kinabalu itu turut dibantu lima anggota PDRM dan enam petugas KKM sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.32 malam selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal.
TAMAT
