KOTA KINABALU, 5 Feb : Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan Kerajaan Negeri Sabah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan kad pengenalan sendiri walaupun negeri itu mempunyai perlindungan tertentu di bawah Perkara 161E(4) Perlembagaan Persekutuan.
Penjelasan itu dibuat melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat susulan pertanyaan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau yang meminta kepastian sama ada peruntukan berkenaan membolehkan Sabah memperkenalkan kad pengenalan negeri.
Menurut KDN, Perkara 161E(4) tidak pernah memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengeluarkan dokumen pengenalan diri, sebaliknya hanya bertujuan mengekalkan kuasa imigresen Sabah yang melibatkan urusan kemasukan serta status pemastautinan di negeri itu seperti yang ditetapkan oleh undang-undang Persekutuan.
KDN turut menjelaskan, hal berkaitan kewarganegaraan dan pendaftaran penduduk berada di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan, selaras dengan peruntukan Perlembagaan serta pembahagian bidang kuasa dalam Jadual Kesembilan.
Jelasnya, urusan pengeluaran MyKad dan pendaftaran penduduk dilaksanakan menerusi Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang meletakkan tanggungjawab itu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di bawah Ketua Pengarah Pendaftaran Negara.
Tambah KDN, tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan kerajaan negeri mengeluarkan sebarang dokumen identiti yang boleh membawa kesan terhadap status kewarganegaraan.
Sehubungan itu, KDN menegaskan pengeluaran kad pengenalan mesti terus dikendalikan secara berpusat oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan sistem pentadbiran seragam, memelihara kedaulatan undang-undang dan menjaga keselamatan negara.
TAMAT
